February 7, 2013

Tiket Konsert Anuar Zain Macam Pisang Goreng


“Alhamdulillah, setakat ini 80 peratus tiket sudah habis dijual,” kata Anuar Zain menolak spekulasi bahawa pertukaran lokasi Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta Dan Sanubari dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Malawati, Shah Alam disebabkan kelembapan penjualan tiket.
Anuar ketika ditemui pada sidang media di Shah Alam, Isnin lalu menjelaskan, pertukaran lokasi konsert yang akan berlangsung pada 16 Februari ini tidak ada kena-mengena dengan isu yang dibangkitkan sebaliknya ia terpaksa dilakukan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. 
“Masalah teknikal yang berlaku adalah di luar kawalan kami. Kalau 
ikutkan, kami sudah menempah Stadium Putra Bukit Jalil sejak tiga bulan lalu. Bagaimanapun, pihak kami dimaklumkan, sehari selepas Konsert Tiga Dekad Muzik Cinta dan Sanubari di Stadium Putra, sebuah majlis akan diadakan. 
“Justeru, pertukaran ini dilakukan kerana pihak kami sendiri tidak mahu mengambil sebarang risiko, sekali gus memberi laluan pada acara berkenaan,” katanya. 
Dengan senyuman yang sentiasa terukir, Anuar melanjutkan perbualannya dengan berkata, biarpun keputusan dibuat pada saat akhir, namun ia bukan sesuatu yang harus dikesalkan, sebaliknya tersirat pelbagai hikmah. 

“Selepas melihat sendiri keadaan Stadium Malawati, saya sifatkan perpindahan ini sesuatu yang bagus kerana kapasiti dan reka bentuknya akan menjadikan konsert ini lebih intim serta tempat duduk lebih dekat dengan pentas. Dekat dengan peminat, memang itu yang saya inginkan dalam konsert ini. 

“Malah, banyak kelebihan kami peroleh daripada pengurusan Stadium Malawati di mana tempat letak kereta, bil air dan elektrik tidak dikenakan sebarang bayaran. Ruang tempat letak kereta juga luas,” katanya. 

Katanya, bagi peminat yang sudah membeli tiket, mereka tidak perlu bimbang kerana kedudukan tempat pun sudah diatur sebaik mungkin. 

“Kepada peminat yang sudah mendapatkan tiket, mereka akan dihubungi pihak TicketCharge pada 6 hingga 8 Februari ini untuk urusan penukaran tempat duduk. 

“Bagi yang belum mendapatkan tiket, boleh membelinya di Stadium Malawati kerana banyak kaunter akan dibuka, tidak perlu berebut-rebut, bersenang-senang saja, sekali gus memudahkan peminat,” katanya. 

Dalam pada itu, Anuar berkata, perjalanan untuk merealisasikan konsert berkenaan bukannya mudah kerana dia diuji dengan pelbagai dugaan, namun sedikitpun tidak melunturkan semangatnya kerana yakin ia akan berjaya. 

“Sebelum berdepan dengan isu pertukaran lokasi, ada penaja yang menarik diri. Namun, saya tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu berita yang mengecewakan mahupun melemahkan kerana percaya mereka mungkin ada alasan tersendiri. 

“Paling penting bagi saya, konsert ini harus diteruskan biar apapun bentuk cabarannya sekalipun Anuar Zain Network dan Universal Music menanggung sepenuhnya kos penganjuran konsert ini. Saya bertuah kerana pasukan yang terbabit dalam pelaksanaan konsert ini kaya dengan idea dan sentiasa ada ‘plan B’ bagi memastikan semuanya berjalan lancar. 

“Tidak dinafikan kos pembikinan konsert ini sangat tinggi kerana segala aspek, baik dari segi penggunaan visual, lampu dan rekaan pentas, saya menggunakan khidmat mereka yang pakar. 

“Konsert ini bukan mencari keuntungan sebaliknya untuk memberi yang terbaik kepada peminat,” katanya.

sumber:Mymetro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Top 5 Pemberi Komen

Terima Kasih Melawat!!

Ping Site d Sini

[ Click Pada Saya ]

Copyright © Blog Dunia HIBURAN SPECIAL Design by BTDesigner | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger